Jangan Kata Masih Tak Sesuai Laksana Hudud

Tuan Guru Hadi Awang
SHAH ALAM – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan bahawa hukum hudud keputusan ALLAH SWT yang tidak boleh diperdebatkan kesesuaian pelaksanaannya.

Menurutnya, pelaksanaan tersebut tetap sesuai dan meletakkan hukum tersebut di tempatnya.

“Kita mesti faham, saya nak tegaskan, jangan kita kata hudud ini tak sesuai. Itu tak boleh. Ini keputusan ALLAH. Kita kena letak di situ.

“Macam haji. Tak boleh kata haji itu tak sesuai. Kerana kita tak ada duit, jangan kata haji itu tak sesuai. Haji tetap sesuai. Masalah awak tak ada duit itu bab lain.

"Itu kena faham. Usaha mesti dilakukan,” katanya ketika menjawab soalan penonton ketika menjadi panel di program ‘Hudud Dari Kaca Mata Hadi’ dalam program Bicara Minda anjuran Sinar Harian.

Penonton membangkitkan pandangan beberapa tokoh agama yang berpendapat bahawa pelaksanaan hudud di Kelantan masih belum sesuai ekoran kekangan beberapa isu.

Sementara itu, penonton lain bangkit mempersoalkan tentang usaha Kelantan untuk melaksanakan hudud ketika masih belum menakhluk Putrajaya, Abdul Hadi berkata, perkara yang boleh dilaksanakan terlebih dahulu, wajar dilaksanakan dahulu.

“Kita kena sedar bahawa kita kena buat dulu apa yang kita boleh buat. Ada benda yang kita kena buat dahulu, ada benda yang kita kena tunggu. Perkara yang kita boleh buat dahulu, buat dahulu. Jangan tunggu lagi.

“Antaranya ialah sudah ada respons daripada pihak yang berkenaan untuk dikemukakan undang-undang ini untuk dijadikan kajian dan dibawa dengan sedikit pindaan yang membolehkan beberapa bahagian undang-undang dilaksanakan.

“Ulama kita berkata, barang yang kita tak dapat semua, jangan tinggal semua. Kita dapat sebahagian, laksanakan sebahagian. Yang bakinya kita perjuangkan nanti,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyentuh soal perjalanan Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian yang akan dibawanya ke Parlimen, Abdul Hadi berkata, sepatah pun RUU tersebut tidak menyebut perkataan hudud kerana ia adalah pindaan terhadap Akta 355 iaitu Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.

“Draf untuk mengemukakan usul ini juga sudah dibincangkan dengan pihak berkaitan undang-undang dengan semasak-masaknya. Cuma yang tinggal sekarang, tanggungjawab politik.  Pihak pentadbiran sudah melaksanakan tugas mereka. Politik ini, dibawa usul persendirian...355...yang tidak sebut perkataan hudud sepatah pun.

“Sebutnya, pindaan kepada Akta 355 untuk menaikkan taraf Mahkamah Syariah dan menaikkan taraf hukum Islam. Kerana di sana ada percanggahan di dalam Perlembagaan. Perlembagaan mengatakan bahawa Islam adalah agama Persekutuan. Jelas dalam Perlembagaan. Agama-agama lain bebas. Macam mana agama-agama lain bebas, kita orang Islam tak bebas. Ini dia...tepuk dada tanya iman kita.

“Maka satu perubahan perlu dibuat. Kita ambil kira perubahan secara umum. Ini langkah pertama yang kita buat. Ini bukan sahaja untuk Kelantan, termasuk negeri-negeri yang ada peruntukan-peruntukan untuk melaksanakan syariat,” katanya. - sinarharian
Tag : semasa
0 Komentar untuk "Jangan Kata Masih Tak Sesuai Laksana Hudud"

pihak admin tidak bertanggungjawab ke atas komen-komen yang di kirim. sila komen untuk manfaat bersama..TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Back To Top